LONDON 17 Jun - Presiden Syria, Bashar al-Assad menyatakan Israel diperintah 'satu kerajaan yang gila' dan serangannya terhadap flotila yang membawa bekalan bantuan ke Gaza hanya meningkatkan risiko perang di rantau berkenaan.
"Serangan komando Israel terhadap flotila yang membunuh sembilan aktivis Turki pro-Palestin itu memusnahkan sebarang peluang untuk berdamai pada masa depan," kata Assad kepadaBBC dalam satu wawancara yang disiarkan di televisyen hari ini.
Beliau berkata, perkara itu kerana Israel telah membuktikan bahawa kerajaannya adalah satu lagi kerajaan gila dan mana-mana pihak tidak boleh mencapai perdamaian dengan kerajaan sedemikian.
Katanya, walaupun sebelum serangan dilakukan, beliau tidak melihat kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebagai 'rakan kongsi damai' di rantau itu.
Ditanya sekiranya serangan itu meningkatkan risiko perang di rantau tersebut, Assad berkata: "Sudah tentu. Sebenarnya anda berhadapan dengan bahaya sebelum serangan berlaku pun kerana terdapat bukti yang menunjukkan niat sebenar kerajaan Yahudi itu, tujuan terhadap rakyat Palestin, niat untuk membunuh rakyat Palestin.
"Itu sudah cukup menggambarkan tentang risiko perang di rantau tersebut," katanya
Dalam perkembangan sama, Israel berkata, pihaknya menganggap sebuah pertubuhan amal Yayasan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH) yang menganjurkan misi bekalan bantuan ke Gaza bulan lalu sebagai satu 'pertubuhan keganasan'.
Menurut televisyen tempatan Israel, IHH kini disenaraikan sebagai satu pertubuhan seperti pergerakan pejuang Hamas Palestin atau kumpulan Hizbullah di Lebanon yang diawasi ketat perkhidmatan risikan Israel.
Seorang pegawai kanan Israel yang enggan dikenali berkata, IHH dikategorikan sebagai pertubuhan keganasan kerana ia menyokong keganasan dan mempunyai hubungan rapat dengan Hamas.
No comments:
Post a Comment